Permulaan Dalam Suatu Perhubungan (Macho vs Gedik)

0

Bagaimana untuk memulakan langkah pertama? Siapakah yang sepatutnya mengambil tindakan, 
lelaki atau wanita?

Kadang hati bertanya, siapakah yang patut mulakan langkah dalam membina satu perhubungan yang baru. Padahal masing-masing sudah menunjukkan tanda saling tertarik antara satu sama lain, tapi persoalannya sehingga waktunya tiada langkah ke hadapan yang dilakukan bagi mengenali dengan lebih rapat lagi. 

Inilah yang menjadi masalah jika ada antara lelaki dan wanita yang tidak berani menyatakan perasaan mereka secara terang-terangan kerana risau perkenalannya itu akan ditolak mentah-mentah.


Lalu, jika ada wanita yang lebih berani untuk memulakan dulu, masyarakat menggelarnya umpama perigi mencari timba pula. Paling tidak pun orang akan melabelkan mereka tergedik-gedik atau pun terhegeh-hegeh. 


Tetapi kalau lelaki tidak mulakan pula, sampai bila pihak wanita hendak menunggu? Tunjukkan sedikit sifat kelelakian anda, bukan apa takut nanti lama-lama timbul pula perasaan bosan disebabkan masing-masing tidak bertindak.




Namun, menurut amalan tradisi dan budaya nenek moyang kita dulu kala, seelok-eloknya lelaki yang memulakan salam perkenalan kerana ia lebih bersifat ‘gentleman’ atau lelaki budiman dan wanita pula menanti dengan penuh debaran. Ia tampak lebih manis. Tetapi jika wanita memulakan dulu, ia dianggap murah, tiada harga diri dan bersifat terdesak.


Menganjak ke zaman teknologi siber dan 2012 ini pula, wanita juga mempunyai hak dalam pelbagai perkara tidak seperti dulu lagi. Lalu dalam soal perhubungan pula, perkara ini tidak seharusnya terbelenggu oleh adat budaya dan membiarkan persoalan remeh ini berlarutan hingga tiada kesudahan. 


Sebenarnya, wanita juga disarankan untuk memulakan langkah pertama bagi mengenali lebih mendalam lelaki pilihan mereka. Contoh yang mudah ialah Saidatina Khadijah binti Khuwailid iaitu isteri pertama Baginda Rasulullah SAW yang memulakan langkah pertama kerana tertarik dengan sifat Baginda yang tiada tolok bandingnya.


Tetapi, jangan pula lelaki memikirkan mereka akan hilang sifat kelelakian jika wanita memulakan langkah pertama. 





Menurut Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata permulaan suatu perkenalan itu bukan bergantung kepada siapa yang harus memulakan dulu, tetapi bergantung kepada keadaan.


“Sekiranya pasangan itu tidak kenal antara satu sama lain, bagaimana perkenalan itu hendak berlaku? Jadi ia bergantung siapa yang akan mulakan dulu. Tidak semestinya lelaki yang harus mula dan perempuan wajib menunggu"


“Perkenalan ini juga boleh berlaku dalam keadaan yang tidak dirancang iaitu secara spontan,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.


Ujarnya lagi, bagi wanita, tiada isu ‘gedik’ atau tidak kerana ia tidak menimbulkan masalah langsung jika hendak mulakan langkah dengan niat untuk berkenalan. Sudah menjadi lumrah alam bahawa seseorang akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan sesuatu. 


“Perempuan ini kalau gedik ia dilihat daripada segi caranya bercakap, menunjuk pada orang lain, cara berjalan dan sebagainya hingga menimbulkan rasa meluat kepada sesiapa pun yang memandang. Tetapi kalau secara spontan atau merancang, ia langsung tidak timbul isu gedik ini.




“Bagi lelaki pula, macho atau tidak pun bukan menjadi masalahnya kerana ia tidak berhubung langsung dengan siapa yang harus memulakan langkah pertama. Kadang-kadang sesetengah lelaki tidak mudah untuk bertegur sapa dan liat untuk mulakan salam. Tapi, kalau mereka benar-benar berani, mereka memang sangat macho,” katanya.


Beliau juga menjelaskan, jika dulu pergaulan terbatas antara lelaki dan lelaki, manakala perempuan dan perempuan. Namun kini, pergaulan sosial antara lelaki dan wanita mudah. Lebih-lebih lagi, dengan kemudahan teknologi canggih seperti telefon bimbit, iPad, laman sesawang facebook dan sebagainya, wanita juga boleh memulakan langkah.


“Jadi, tidak timbul isu wanita gedik atau lelaki tidak macho kerana jika tidak, interaksi tidak akan berlaku langsung,” katanya. 


Sumber : BH oleh Saadiah Ismail

TuanTanah

^^, Terima kasih kepada yang sudi komen, kongsi dan sentiasa memberi sokongan. Jangan lupa tinggalkan link anda di komen yer

0 Komen: